Sunday, June 8, 2008

>Pusaka 01 – Modul Latihan Bersepadu Bagi Guru Bimbingan dan Kaunseling

Pusaka 01 – Modul Latihan Bersepadu Bagi Guru Bimbingan dan Kaunseling


Ab Aziz Mohd Yatim
abaziz@upsi.edu.my
Jabatan Bimbingan dan Kaunseling
Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Banyak isu guru bimbingan dan kaunseling timbul sejak dari dulu hinggalah ke hari ini. Pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh guru bimbingan dan kaunseling semasa menjalankan tugas di sekolah seperti masalah beban tugas, tidak tahu menjalankan tugas, kurang pendedahan terhadap kerja, kurang mahir dalam penulisan dokumentasi dan tidak berkemahiran dalam menjalankan kursus dan sebagainya. Suradi (1992) yang telah membuat kajian tentang masalah pelaksanaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah menengah mendapati guru bimbingan dan kaunseling mengalami masalah tidak cukup masa, masalah kemahiran, masalah kerjasama, masalah sambutan pelajar, masalah kemudahan, masalah kewangan dan sebagainya. Guru-guru ini mempunyai beban tugas yang banyak, tidak tahu mengendalikan perkhidmatan, ketiadaan bahan atau maklumat untuk mengendalikan perkhidmatan dan tidak berkemahiran dalam menjalankan program. Justeru itu, pengkaji telah menghasilkan produk `Pusaka 01’ yang mampu membantu para kaunselor agar lebih effisyen dan berkemahiran tinggi dalam menjalankan tugas di sekolah. Produk ini yang telah mengambil bahagian dalam International Exhibition of Inventions New Techniques and Products di Geneva, Switzerland mampu merungkai segala permasalahan tersebut.



Pengenalan

CD Pusaka 01 – Modul Latihan Bersepadu Bagi Guru Bimbingan dan Kaunseling diterbitkan bagi membantu guru bimbingan dan kaunseling dalam menjalankan kerja-kerja bimbingan dan kaunseling dengan lebih berkesan di sekolah. Memandangkan kerja seorang guru bimbingan dan kaunseling yang terlalu banyak menjadikan tugas yang terpaksa dipikul oleh seorang guru bimbingan dan kaunseling itu terlalu berat. Ini mengakibatkan banyak kerja-kerja pendokumentasian tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Kerja-kerja penulisan pendokumentasian, laporan, kertas kerja, sesi kaunseling, perancangan bulanan dan tahunan akhirnya terbengkalai begitu sahaja kerana kesibukan dan pertindanan tugas. Seorang guru bimbingan dan kaunseling perlu mempunyai satu kaedah yang boleh memudahkan mereka bekerja.




Kepentingan kajian

Kertas kerja ini ditulis bagi memperkenalkan satu kaedah dan pendekatan yang mudah dan mesra pengguna bagi membantu guru bimbingan dan kaunseling melakukan kerja dengan berkesan dan mudah. Seorang guru bimbingan dan kaunseling akan mampu melaksanakan tugasan mereka di sekolah bukan sahaja dalam penulisan dokumentasi malah mampu untuk mengendalikan program. Program-program dan kursus yang selamanya ini dirasakan amat sukar untuk dikendalikan akan bertukar menjadi sebaliknya. Dengan sendirinya produk ini mampu memberi keyakinan yang tinggi kepada guru bimbingan dan kaunseling dalam peningkatan kemahiran mereka. Sapora dan Hapsah (2003) menyatakan latihan dan penyeliaan kaunselor sekolah yang berkesan amat diperlukan dalam usaha menuju ke arah profesionalisme. Ini adalah kerana perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sekolah memainkan peranan penting dalam agenda pendidikan negara terutamanya bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara dan menyambut cabaran Wawasan 2020.

Suradi (1992) telah membuat kajian tentang masalah pelaksanaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah menengah mendapati guru bimbingan dan kaunseling mengalami masalah tidak cukup masa, masalah kemahiran, masalah kerjasama, masalah sambutan pelajar, masalah kemudahan, masalah kewangan dan sebagainya. Guru-guru ini mempunyai beban tugas yang banyak, tidak tahu mengendalikan perkhidmatan, ketiadaan bahan atau maklumat untuk mengendalikan perkhidmatan dan tidak berkemahiran dalam menjalankan program. Isu-isu guru bimbingan dan kaunseling tidak tahu menjalankan tugas mereka di sekolah acap kali diperbahaskan.

Baird (1996) menyarankan supaya kaedah yang digunakan bagi melatih kaunselor pelajar perlu berkait rapat dengan kandungan dan fokus kursus-kursus tertentu seperti penerangan secara teori dan kuliah, demonstrasi secara langsung dan demonstrasi menggunakan video. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pengkaji-pengkaji barat seperti Staley (1990), Maake (2000) dan Cabaniss (2001), penggunaan teknologi secara audio dan visual banyak membantu dalam melatih kaunselor pelajar yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk menjalankan tugas sebagai kaunselor di sekolah.

Dalam hal ini pengkaji menggabungkan kesemua bentuk dan pendekatan iaitu penulisan dokumentasi, bahan ceramah dalam bentuk powerpoint dan video, penggunaan muzik, permainan berstruktur, klip video dan persembahan secara langsung melalui video. Pendekatan yang inovatif dalam kaedah penggunaan internet juga dimasukkan dalam menangani masalah disiplin di sesuatu organisasi. Ini sudah tentu akan menjadikan guru bimbingan dan kaunseling lebih mudah memahami dan melatih diri mereka dalam mengendalikan sesuatu modul yang terdapat dalam CD Pusaka 01 dengan jayanya.


Kandungan CD Pusaka 01

CD Pusaka 01 terbahagi kepada 4 bahagian. Bahagian-bahagian tersebut adalah:-
i. Pengurusan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling
ii. Bahan-Bahan Ceramah
iii. Lagu-lagu dan alat pandang dengar berbentuk audio-visual yang mengesankan
iv. Modul-modul kursus/pengendalian


i. Pengurusan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling
CD Pusaka 01 membantu guru bimbingan dan kaunseling atau sesiapa sahaja yang memainkan peranan dalam pembentukan sahsiah pelajar dalam pengurusan dan dokumentasi. Ia memudahkan kerja-kerja seperti berikut:-
· Penyediaan kertas kerja sesuatu program
· Analisis program
· Penerbitan Buletin
· Carta Gantt
· Soalselidik program
· Perancangan program
· E-kaunseling
· Borang-borang berkaitan
· Jadual
· Laporan dan
· Penyediaan sijil
Adalah sangat membebankan seorang guru bimbingan dan kaunseling untuk melakukan kerja-kerja lapangan dan juga kerja perkeranian sekali gus. Untuk menulis satu perancangan program akan mengambil masa yang agak lama. Begitu juga dengan penulisan lain seperti membuat sesuatu pelaporan, menulis kertas kerja, analisis program dan sebagainya. Masalah juga timbul bagi seorang guru bimbingan dan kaunseling untuk menyediakan carta-carta dan jadual. Sebagai contoh, Carta Gantt adalah sesuatu yang perlu bagi menunjukkan tentang unjuran aktiviti yang akan dilakukan sepanjang tahun. Ianya tidak mudah untuk disediakan. Begitu juga dengan jadual kursus dan program. Kesemua kerja-kerja ini akan menjadi amat mudah dengan adanya CD Pusaka 01. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan tiga langkah iaitu klik, edit dan cetak. Banyak contoh yang boleh dijadikan panduan untuk kerja-kerja tersebut di atas. Banyak rungutan yang kedengaran tentang ketidakupayaan seorang guru bimbingan dan kaunseling dalam menyediakan kerja-kerja pendokumentasian. Jelas, dengan adanya CD Pusaka 01 ianya akan menjadikan kerja lebih mudah.


ii. Bahan-Bahan Ceramah
Tidak dapat disangkalkan bahawa terdapat ramai guru bimbingan dan kaunseling tidak mahir dalam memberi ceramah. Sebenarnya ini disebabkan ketiadaan bahan ceramah untuk dijadikan bahan ceramah. Ceramah-ceramah seperti ceramah kerjaya, personaliti, kemahiran belajar, motivasi, ceramah tentang remaja, kepemimpinan dan berbagai lagi akan menjadi sukar sekiranya ketiadaan bahan untuk diceramahkan. Dengan pengumpulan dan penyediaan bahan ceramah yang mampu menarik lagi memikat pelajar mendengar sesuatu ceramah akan memudahkan kerja memberi maklumat kepada pelajar. Dengan berpandukan kepada bahan yang disediakan dalam CD Pusaka 01 bukan sahaja seorang guru bimbingan dan kaunseling malah juga mana-mana personel mampu untuk memberikan satu persembahan ceramah yang menarik. Sesuatu bahan ceramah yang disediakan dalam CD Pusaka 01 mampu untuk digunakan bagi satu sesi ceramah untuk jangkamasa dua jam. Ini sebenarnya akan membantu memberi keyakinan terutamanya kepada guru yang baru dengan perkhidmatan ini.



iii. Lagu-Lagu Tema dan Klip Video
Seorang guru bimbingan dan kaunseling akan mampu menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan dalam memberi kesedaran kepada pelajar dengan bantuan lagu-lagu tema. Lagu-lagu yang bertemakan tentang remaja, ibu-bapa, sahabat, keamanan, keagamaan, kemasyarakatan, kenegaraan dan juga tema motivasi. Lagu-lagu yang dikumpul mengikut kesesuaian kursus atau program yang dijalankan boleh digunakan bagi memberi kesan impak yang lebih besar. Begitu juga dengan klip video yang dihasilkan mengikut kesesuaian tema dan sasaran peserta kursus. Ia akan membantu menjadikan pelajar serta peserta kursus berminat untuk terus mengikuti ceramah atau program yang dijalankan. Amatlah mudah bagi seorang guru bimbingan dan kaunseling menjalankan tugas mereka dalam menjalankan program sekiranya semua keperluan audio dan visual ada di depan mata dan tersedia untuk digunakan.


iv. Modul-Modul Kursus
Ketidakupayaan seorang guru bimbingan dan kaunseling terutamanya dalam menjalankan kursus atau program akan berakhir dengan bantuan Pusaka 01. Mereka akan dapat melihat bagaimana menjalankan sesuatu modul dengan melihat cara pengendalian sesuatu modul tersebut melalui vcd yang dibekalkan. Ketidakupayaan seorang guru bimbingan dan kaunseling menjalankan sesuatu program akan menyebabkan mereka menggunakan kepakaran luar bagi membantu mereka menjalankan program tersebut. Keberkesanan sesuatu program akan menjadi lebih tinggi jika kepakaran dalaman digunakan. Peserta akan terus dipantau dengan lebih dekat oleh guru bimbingan dan kaunseling yang bertugas di tempat yang sama. Ini bermakna setelah tamat sesuatu program yang dilakukan oleh seorang pakar luar, peserta kursus akan ditinggalkan oleh pengendali program tersebut. Ini akan menyebabkan proses untuk membantu pelajar akan terputus. Kebanyakan situasi yang dialami oleh kebanyakan sekolah adalah seperti yang dinyatakan di atas. Perkara seumpama itu tidak akan berlaku lagi dengan bantuan Pusaka 01. Modul-modul di bawah boleh membantu dalam pembentukan diri peserta kepada sepertimana yang kita kehendaki. Modul-modul adalah seperti berikut:-



a. Modul Kemahiran Belajar 5 Domain
Seorang guru atau pengendali kursus mampu melakukan sendiri ceramah atau kursus Kemahiran Belajar. Modul Kemahiran Belajar 5 Domain mampu menjadikan pelajar lebih berfokus terhadap pelajaran mereka. Seorang pengendali boleh mengendalikan kursus Kemahiran Belajar selama 2 jam, 4 jam, 6 jam mahupun dua atau tiga hari. Ini diikuti dengan bengkel-bengkel berterusan bagi membimbing pelajar di bawah jagaan mereka. Sesiapapun mampu melakukannya dengan melihat vcd yang dibekalkan. Modul ini juga menarik dan boleh dibuktikan keberkesanannya. Contohnya peserta kursus boleh dan mampu untuk mengingat formula yang sukar dan mengingat terminologi yang asing dalam masa jangkawaktu yang singkat. Begitu juga dengan penghafalan ayat quran dan hadith. Ia mampu diingati dalam jangkawaktu kurang dari 5 minit.


b. Modul Agape Love (Kasih Sayang Tanpa Syarat)
Modul ini mampu untuk mewujudkan suasana kasih sayang dalam sesuatu komuniti. Ianya sesuai dijalankan di sekolah, asrama, komuniti atau kumpulan kecil seperti badan pengawas, pembimbing rakan sebaya dan sebagainya. Modul ini menggalakkan peserta mengamalkan kasih sayang tanpa syarat (unconditional love). Ini bermakna kasih sayang akan dapat disemai tanpa mengira agama, bangsa dan kaum yang berbeza. Pelajar Melayu, Cina dan India akan menjalani kehidupan yang lebih selesa dan harmoni dengan penerapan nilai agape love. Pelajar akan lebih menyayangi guru dan rakan-rakan selepas menjalani modul ini. Begitu juga dengan guru, mereka akan menyayangi pelajar mereka lebih dari sebelum mereka mengetahui tentang agape love. Kebelakangan ini banyak kes yang melibatkan pergaduhan dan pelacoan (ragging) berlaku di sekolah. Ada setengah kes yang sangat serius hingga menyebabkan kematian. Perkara ini berlaku kerana tiada perasasaan kasih sayang di kalangan pelajar. Penerapan kasih sayang gagal dilakukan ke atas mereka hingga mereka sanggup melakukan perkara sedemikian. Sekolah-sekolah yang berisiko seperti sekolah aliran teknik yang diasaskan oleh dua kumpulan pelajar tingkatan empat dan lima, sekolah berasrama dan sekolah yang mempunyai latarbelakang pelajar yang pelbagai amat digalakkan untuk menggunakan modul ini.


c. Modul Subconscious (Tenaga Bawah Sedar)
Modul ini adalah bagi menggerakkan pelajar tentang kesedaran mereka terhadap tenaga dalaman yang mereka ada. Mereka jarang menggunakan tenaga dalaman ini. Mereka selalunya menjadi manusia yang diistilahkan sebagai `Ten Percenter’ iaitu jenis manusia `kebanyakan’. Manusia kebanyakannya menggunakan tenaga yang hanya sepuluh peratus dan mereka telah menganggap bahawa mereka telah menggunakan tenaga yang maxima. Sebenarnya mereka mempunyai banyak tenaga yang mereka tidak sedar. Ini dapat diterangkan dengan memberi contoh seorang yang terlalu takut kerana dikejar anjing atau pada anggapannya hantu lalu boleh dan mampu untuk melompat dan melepasi ketinggian pagar yang selama ini tidak termampu mereka lakukan. Begitu juga dengan kehidupan mereka seharian di mana mereka hanya boleh mengulangkaji pelajaran mereka hingga setakat pukul 10 malam. Sebenarnya mereka mempunyai tenaga di bawah sedar yang lebih berkemampuan daripada itu. Setelah mereka sedar mereka mampu untuk belajar hingga lewat malam dan seumpamanya. Modul ini akan dapat menggerakkan motivasi pelajar ke tahap yang maksimum dan ianya akan membantu pencapaian akademik mereka hingga ke tahap yang cemerlang.


d. Modul Inteam
Modul ini membawa dua maksud iaitu inteam yang membawa maksud `dalam satu pasukan’ dan maksud yang kedua ialah keakraban. Modul ini menguji kekuatan sesuatu kumpulan dalam mengharungi permasalahan dalam sesuatu organisasi. Mereka akan nampak dengan jelas apa yang berlaku dalam oraganisasi mereka. Masalah fungsional dapat diperjelaskan dengan lebih objektif. Para peserta akan membincangkan perkara tersebut secara terbuka. Modul ini akan menjadikan peserta lebih peka terhadap fungsi setiap ahli. Mereka juga sedar bahawa mereka perlu bersatu dalam satu pasukan. Sesuatu perlakuan yang tidak betul dalam sesuatu organisasi itu akan dapat dilihat oleh orang luar. Kesilapan yang seseorang itu lakukan selalunya tidak akan dapat dikesan oleh mereka. Ini membawa maksud bahawa mereka tidak sedar tentang kesilapan yang mereka lakukan. Kesalahan hanya dapat dilihat oleh orang lain. Tujuan modul ini adalah untuk membina pasukan yang mantap. Dengan ini akan menjadikan sesuatu organisasi atau kumpulan itu bersatu padu tanpa konflik yang memusnahkan mereka.

e. Modul Pengendalian Disiplin Alternatif
Dengan mengikuti modul ini pengendali disiplin akan mendapat satu kaedah alternatif yang mungkin jarang digunakan. Pendekatan ini adalah didasarkan daripada pendekatan kemanusiaan. Pendekatan ini akan menjadikan manusia bertingkahlaku positif tanpa paksaan. Strategi dan perlaksanaannya adalah sangat jelas bila seseorang mengikuti modul ini. Banyak strategi dan usaha yang kreatif perlu diterokai bagi mencapai apa kehendak yang dikehendaki oleh kita. Modul ini adalah sangat praktikal dan pernah dijalankan oleh pengkaji. Dengan menggunakan kaedah portal, internet, e-mail, chat-room, sms (sistem pesanan ringkas) dan aktiviti yang menarik mampu menggerakkan pelajar ke arah yang lebih positif. Ini akan mengelakkan pelajar berisiko tinggi khasnya daripada melakukan perkara yang tidak diingini.


f. Modul Penghasilan MP3 dan Video
Guru bimbingan dan kaunseling akan menjadi seorang yang lebih kreatif apabila mengetahui cara penghasilan MP3 dan Video ini. Banyak bahan tambahan yang menarik dapat dihasilkan oleh mereka. Ilmu ini juga boleh diajar kepada pelajar Pembimbing Rakan Sebaya di mana mereka boleh menggunakan kreativiti mereka dalam mengkayakan lagi khazanah bahan bimbingan dan kaunseling. Mereka berkemampuan untuk memanjangkan atau memendakkan sesebuah lagu. Mereka juga boleh mencampurkan lagu bagi tujuan menghasilkan kesan yang berbeza. Contohnya jika hendak menghasilkan satu rangkaian lagu bagi aktiviti senamrobik maka seseorang itu mampun menghimpun lagu dalam satu rantaian. Ini akan menjadikan aktiviti tersebut lebih menarik. Begitu juga dengan video editing di mana video boleh jadikan bahan yang mampu memberi kesan dan impak yang maksimum.


g. Modul Relaxation
Memahami apa perlu dilakukan dan cara yang jelas dapat ditunjukkan melalui video. Bersertakan muzik untuk dimainkan oleh pengendali, tidak mustahil seseorang yang tidak pernah mengendalikannya mampu untuk melakukannya dengan penuh yakin. Tidak cukup dengan itu, powerpoint tersedia untuk digunakan bagi menyampaikan bahan ceramah. Prosedur yang sungguh mudah bagi seorang pengendali untuk menjalankan sesi ini. Setelah melalui aktiviti ini peserta akan mampu untuk menguruskan tekanan mereka apabila mereka tertekan. Ini sangat berguna kepada pelajar terutamanya apabila mereka menghadapi saat genting seperti peperiksaan atau sedang mengalami masalah.


h. Modul Pusaka 01
Keseluruhan modul Pusaka 01 mampu menjadikan seorang guru bimbingan dan kaunseling mempunyai kemahiran yang tinggi dalam mengendalikan apa jua program. Rahsia-rahsia dan tips-tips yang berguna disertakan bagi memudahkan guru bimbingan kaunseling menggunakan modul ini bagi program seperti kursus Kemahiran Belajar, Kepemimpinan, Pelajar Berisiko Tinggi, Pelajar Lemah Pencapaian, Pelajar Cemerlang, Bina Pasukan, Keibubapaan dan banyak lagi.



Kajian Keberkesanan Penggunaan Pusaka 01
Kajian awal untuk menguji keberkesanan penggunaan Pusaka 01 telah dijalankan pada tahun 2004 terhadap pelajar-pelajar bimbingan dan kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris yang sedang menjalani praktikum kaunseling di sekolah-sekolah. Seramai 33 orang guru pelatih diberi bimbingan dan latihan mengendalikan modul-modul yang terdapat dalam Pusaka 01 ini. Mereka kemudiannya kembali ke sekolah masing-masing dan menjalankan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dengan menggunakan modul-modul tersebut. Satu set soal selidik telah dibina oleh pengkaji untuk melihat sejauhmana persepsi guru-guru pelatih ini setelah menggunakan Pusaka 01 sebagai rujukan sepanjang menjalankan perkhidmatan mereka di sekolah. Soal selidik yang mempunyai 20 item ini merujuk kepada empat bahagian utama, iaitu perancangan, pengurusan, laporan, dan program dan aktiviti. Pemeringkatan yang dibuat adalah dengan menggunakan sembilan skala berdasarkan kesesuaian konteks kajian. Selain itu, responden juga diminta untuk menyatakan apa sahaja komen atau pandangan mereka terhadap penggunaan Pusaka 01.



Hasil daripada analisis deskriptif menunjukkan bahawa peratusan persepsi guru-guru pelatih terhadap penggunaan Pusaka 01 adalah positif. Ini boleh dilihat dengan kadar peratusan yang mana kesemuanya mencapai tahap tinggi yakni melebihi 87 peratus. Majoriti bersetuju bahawa mereka tahu dan boleh untuk membuat perancangan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, membuat kerja-kerja pengurusan, membuat laporan, dan menjalankan program dan aktiviti terhadap pelajar-pelajar di sekolah.


Jadual 1: Peratusan bagi persepsi guru-guru pelatih terhadap penggunaan Pusaka 01

Bahagian
Peratus
Perancangan

Perancangan program
Perancangan modul kursus
Perancangan mesyuarat
Perancangan sesi kaunseling
Perancangan aktiviti kelab/PRS


100.0
100.0
87.9
93.9
97.0
Pengurusan

Membuat surat menyurat
Borang
Poster
Brosur
Buletin


93.9
93.9
93.9
90.9
97.0
Laporan

Laporan kursus
Laporan program
Laporan sesi
Laporan bulanan
Laporan tahunan


97.0
97.0
93.9
93.9
100.0

Program dan aktiviti

Kemahiran belajar
Personaliti
Kerjaya
Personaliti warna
Kemahiran komunikasi



93.9
100.0
100.0
100.0
93.9

Selain itu, guru-guru pelatih berpendapat Pusaka 01 sangat memberi manfaat sepanjang mereka menjalani praktikum kaunseling di sekolah. Mereka merasa lebih berkeyakinan untuk menjalankan program, lebih mudah untuk membuat dokumentasi, dan rasa kurang terbeban dari segi aspek-aspek pengurusan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Guru-guru pelatih ini juga berpendapat mereka boleh menjalankan tugas dengan baik apabila ditempatkan di sekolah-sekolah nanti sebagai guru bimbingan dan kaunseling setelah mendapat latihan pengendalian Pusaka 01 ini.



Kesimpulan dan Penutup
Modul Pusaka 01 amat bersepadu dalam melatih guru bimbingan dan kaunseling. Mana-mana personel yang terlibat dalam latihan juga boleh menggunakan Modul Pusaka 01 bagi meningkatkan kemahiran mereka. Diharap dengan lahirnya modul ini akan menjadikan guru bimbingan di sekolah tidak lagi takut atau tidak yakin dalam menjalankan tugas mereka. Apa yang pasti modul ini akan mampu untuk membantu mereka menjalankan tugasan mereka dengan penuh efisyen. Tenaga luar diharap dapat dikurangkan dalam membentuk sahsiah pelajar di sekolah atau organisasi tertentu. Dengan adanya konsultan dalaman iaitu guru bimbingan dan kaunseling itu sendiri banyak program akan dapat dijalankan. Apa yang lebih penting ialah pemantauan dapat dijalankan dengan lebih dekat terhadap pelajar sendiri. Ini akan menjadikan sesuatu program itu lebih berkesan. Selain daripada itu hasrat untuk menjadikan guru bimbingan dan kaunseling yang lebih berkesan dan berperanan besar di sekolah akan terhasil dengan bantuan Pusaka 01.




Nama : Ab. Aziz Mohd Yatim
No. KP : 610421-10-5803
Alamat : Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, UPSI
No. Tel : Pej: 054506029, Res: 0360645709, HF: 0123966803
Faks : 054583607

Rujukan


Baird (1996)


Cabaniss, K. (2001) Counseling and computer technology in the new millennium: An Internet Delphi study. Disertasi (tidak diterbitkan), Virginia Polytechnic Institute and State University.
http://proquest.umi.com/pqdweb?did=728443791&sid=4&Fmt=2&clientId=60729&RQT=309&VName=PQD


Maake, M.J. (2000). Using interactive television in the in-service education and training of guidance teachers. Disertasi (tidak diterbitkan), University of Pretoria (South Africa).
http://proquest.umi.com/pqdweb?did=728363491&sid=5&Fmt=2&clientId=60729&RQT=309&VName=PQD


Sapora dan Hapsah (2003)


Staley, W.L. (1990). Using interactive videodisc technology for counselor training. Disertasi (tidak diterbitkan). Kent State University.
http://proquest.umi.com/pqdweb?did=746433441&sid=14&Fmt=2&clientId=60729&RQT=309&VName=PQD


Suradi Salim (1992) Masalah pelaksanaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah-sekolah menengah di Malaysia, dalam Suradi Salim (1994) Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling: Kajian keperluan, pelaksanaan dan prospek. Selangor: Pustaka Akademik

2 comments:

zilla yeam said...

Salam. Saya seorang guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa yang sedang berkhidmat di sebuah sekolah rendah. Adakah saya bolah memiliki modul anda ini sebagai bahan rujukan saya agar dapat dijadikan sebagai panduan yang sangat berguna. Saya mempunyai masalah dalam mengendalikan program-program di sekolah kerana kekurangan bahan rujukan dan panduan.Jika boleh, bagaimanakan caranya? T.kasih.

Saifol Hamree said...
This comment has been removed by the author.