Sunday, June 8, 2008

>MODUL KEMAHIRAN BELAJAR 5 DOMAIN: SATU PENDEKATAN

MODUL KEMAHIRAN BELAJAR 5 DOMAIN : SATU PENDEKATAN

Oleh:


Md Noor Saper
Ab Aziz Mohd Yatim
Amelia Mohd Noor

Jabatan Bimbingan dan Kaunseling
Universiti Pendidikan Sultan Idris



Terdapat pelbagai kajian dan pendekatan terhadap kemahiran belajar yang telah diketengahkan. Menurut Abdul Razak Habib (2002) kemahiran belajar merujuk kepada gaya pembelajaran yang merangkumi motif dan strategi tertentu yang diamalkan oleh pelajar bagi memperolehi hasil pembelajaran tertentu. Dunn dan Dunn (1992) menyatakan pelajar-pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang lebih cemerlang, lebih berdisiplin dan mempunyai sikap yang positif apabila mereka mempunyai teknik belajar yang berkesan. Justeru itu, kaedah dan pendekatan kemahiran belajar yang lebih praktikal adalah sangat wajar untuk diketengahkan kepada para pelajar. Kemahiran belajar 5 domain merupakan satu pendekatan berdasarkan pengalaman penulis sebagai kaunselor di sekolah. Kertas kerja merupakan tinjauan awal untuk melihat sejauhmana kemahiran belajar yang melibatkan lima domain sesuai dan praktikal digunakan oleh para pelajar di sekolah bagi membantu mereka mengusai pengetahuan seterusnya membantu pencapaian dalam bidang akademik.


1.0 PENDAHULUAN

Kajian Hewitt (1973) menunjukan bahawa faktor-faktor yang menjadi punca kegagalan pelajar dan ketidakupayaan untuk mencapai skor yang baik adalah kerana mereka mempunyai masalah dalam kaedah pembelajaran mereka. Dunn dan Dunn (1992) menyatakan pelajar-pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang lebih cemerlang, lebih berdisiplin dan mempunyai sikap yang positif apabila mereka mempunyai teknik belajar yang berkesan. Ini menunjukan kemahiran belajar mempunyai korelasi terhadap pencapaian akademik seseorang.

Menurut Abdul Razak Habib (2002) kemahiran belajar merujuk kepada gaya pembelajaran yang merangkumi motif dan strategi tertentu yang diamalkan oleh pelajar bagi memperolehi hasil pembelajaran tertentu. Gaya pembelajaran merupakan satu bentuk gaya belajar yang diaplikasikan oleh para pelajar sebagai salah satu alternatif untuk memudahkan mereka memahami sesuatu pelajaran. Justeru itu, adalah penting bagi pelajar mengetahui kemahiran-kemahiran belajar yang betul bagi menjamin kejayaan mereka dalam setiap mata pelajaran.


2.0 KEMAHIRAN BELAJAR DAN PENCAPAIAN AKADEMIK

Rata-rata pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan menyatakan antara rahsia kejayaan mereka termasuk mempunyai perancangan dan kemahiran belajar yang sistematik. Bermula di dalam kelas yang formal di kelas sehinggalah ketika mereka mengulangkaji pelajaran di rumah, mereka mempunyai pendekatan dan kemahiran belajar yang berkesan.

Menurut Md Yusuf Hj Arshad (1992), kajian yang telah dijalankan oleh Gall M.D. dan rakan-rakan (1990) bertajuk `Tools for Learning’ menyatakan kemahiran belajar boleh meningkatkan pencapaian akademik pelajar di sekolah. Perkara ini disokong dengan kajian dan pendapat pengkaji yang lain seperti:
Entwistle (1960) menyatakan bahawa pencapaian pelajar bertambah baik dengan adanya kursus-kursus kemahiran belajar
Shay (1972) menyatakan bahawa pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran belajar dan sikap yang baik akan mencapai gred yang baik
Kirschembaum dan Peril (1983) menyatakan bahawa kemahiran belajar seperti pengurusan diri dan teknik belajar akan memberi kesan terhadap pembelajaran seseorang pelajar
Zimmerman dan Pang (1986) menyatakan bahawa penggunaan kemahiran belajar yang sistematik adalah faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu mencapai kejayaan dalam pelajaran mereka
Deshler dan Schumaker (1986) menyatakan bahawa pelajar yang diberi kemahiran belajar menunjukan penambahan dalam pencapaian markah
Wilson (1988) yang membuat kajian tentang kemahiran belajar telah menyatakan sebagai `dramatic evidence of its effectiveness’

Menurut Chibnal (1987), belajar merupakan satu proses untuk mengembangkan pembelajaran, mempelajari soalan-soalan tertentu, membuat persediaan di samping melukis gambar rajah, peta, graf seterusnya untuk lulus dengan cemerlang di dalam pepriksaan. Dengan ini adalah mustahak untuk mengetahui kaedah belajar yang tepat bagi mendapat markah yang baik di dalam pepriksaan.

Kajian yang dilakukan oleh Abd Razak Habib (2000) berkaitan gaya pembelajaran pelajar cemerlang diuniversiti menunjukan bahawa pelajar yang cemerlang mempunyai motivasi dalaman yang tinggi di samping strategi pembelajaran yang baik. Daripada pernyataan berkenaan menunjukan kemahiran belajar yang disertai dengan motivasi yang tinggi terbukti boleh meningkatkan pencapaian pelajar dalam pelajaran. Para pelajar perlu ditanamkan kesedaran agar mereka dapat menguasai teknik belajar yang berkesan supaya dapat memperolehi gred yang cemerlang, khasnya kepada mereka yang mempunyai pencapaian yang rendah.


3.0 KEPENTINGAN KEMAHIRAN BELAJAR 5 DOMAIN


Meskipun banyak kajian yang telah dibuat berkaitan kemahiran belajar, satu pendekatan yang benar-benar praktikal perlu untuk diketengahkan. Ini disebabkan perbezaan individu berkait dengan variasi gaya pembelajaran mereka. Perbezaan individu ini juga menggambarkan perbezaan corak dan strategi pembelajaran yang diamalkan seterusnya akan menentukan kecenderungan dan minat belajar seseorang. Meskipun setiap individu itu berbeza, diharapkan perbezaan ini tidak dijadikan alasan untuk mereka memperolehi kejayaan yang cemerlang. Diharapkan kemahiran belajar 5 domain ini akan membantu setiap pelajar sama ada berpencapaian tinggi atau rendah untuk menguasai pengetahuan.

Di samping itu juga, memang tidak dapat dinafikan banyak kajian-kajian lepas yang memperlihatkan pelbagai bentuk gaya pembelajaran termasuklah gaya pembelajaran auditori, gaya pembelajaran visual di samping gaya pembelajaran kinestetik. Diharapkan melalui modul ini akan menambahbaikan gaya dan pendekatan kemahiran belajar yang sedia ada dalam konteks tempatan bersesuaian dengan perkembangan dan persekitaran diri seseorang pelajar.

Kajian ini juga sedikit sebanyak dapat membantu para kaunselor khususnya di sekolah. Ini disebabkan antara bidang utama profesion kaunselor adalah untuk membantu meningkatkan pencapaian akademik para pelajar.


4.0 PENDEKATAN TEORI

Rentetan dari usaha untuk memahami dan mengimplementasi modul, kajian ini bersandarkan kepada teori yang dikemukakan oleh Howard Gadner iaitu “Gardner’s Multiple Intelligences Theory”. Teori yang berkait dengan kepelbagaian kecerdasan ini boleh dijadikan sandaran selari dengan tuntutan teori yang mementingkan penyesuaian guru terhadap strategi instruksional dalam usaha untuk memenuhi keperluan pelajar. Oleh demikian, dari konteks kajian ini ianya dilihat kebolehan penyesuaian pelajar untuk menyesuaikan diri dengan apa yang perlu dipenuhi oleh mereka sendiri untuk memperolehi maklumat dan pembelajaran.

Terdapat lapan jenis kecerdasan yang dikemukakan oleh Gardner. Kecerdasan pertama adalah kecerdasan bahasa atau linguistik yang melibatkan keupayaan menguasai bahasa. Individu yang memiliki kecerdasan ini cenderung untuk berfikir dalam bentuk perkataan (yakni melisankan apa yang difikirkan) serta berupaya membentuk kemahiran audio (bersuara). Individu ini juga boleh memberikan perhatian yang sepenuhnya dari aspek tatabahasa serta perbendaharaan kata dan tidak ketinggalan berkeupayaan untuk menggunakan sesuatua perkataan secara jelas.

Kecerdasan muzik boleh dilihat dari satu medium yang sama dengan kecerdasan bahasa. Melalui muzik, individu berupaya menyalurkan perasaan dan emosi dari segi menjiwai, mengetahui dan memahami perasaan. Kecerdasan ini mempunyai nilai tara yang tinggi kerana ianya boleh disebatikan dengan pelbagai kecedasan yang lain. Aspek kecerdasan ketiga adalah berkait dengan kecerdasan logik-matematik yang mengandungi keupayaan untuk mengenalpasti corak, penakulan secara deduktif serta berfikir secara logik. Umpamanya, kanak-kanak bermula dengan meneroka kecerdasan ini dengan mula menyusun objek yang dipelajari secara realiti dan kemudian beralih dengan melakukan perkiraan dalam otak mereka secara manipulatif. Keadaan ini secara beransur-ansur mula membawa ke arah pembentukkan kemahiran rantaian penakulan yang berpanjangan.

Dalam merealisasikan keupayaan untuk memanipulasi dan menbentuk imej-imej mental bagi menyelesaikan sesuatu masalah, individu didorong dengan kecerdasan ruang. Individu sedemikian dapat menanggap keadaan visual sekeliling secara tepat, boleh membuat transformasi dan modifikasi terhadap persepsi awal serta boleh mencipta semula persepsi-persepsi awal walaupun tiada rangsangan secara nyata yang diberikan. Dengan erti kata lain, kecerdaan ruang ini adalah keupayaan persepsi secara visual.

Bagi kecerdasan badan-kinestetik, individu mempunyai keupayaan untuk memahami dunia sekeliling secara ekpresif dengan tubuh badan. Penggunaan kemahiran motor kasar dan motor halus dapat dikawal sepenuhnya oleh individu dan gabungan kriteria ini dapat menjurus ke arah pengawalan objek secara tepat. Ini sudah tentu membawa impak yang besar pada tindakan dan juga keupayaan yang dinamik.

Selain itu, Gardner turut menjelaskan tentang kecerdasan interpersonal di mana individu turut memiliki keupayaan untuk memahami, menanggap dan mendiskriminasi antara mood, perasaan, motivasi serta kecerdasan-kecerdasan lain yang dimiliki oleh manusia. Berbeza dengan kecerdasan intrapersonal, ia lebih berkait dengan aspek dalam kendiri idividu yang lebih dicirikan dengan kepuayaan untuk memahami diri dan kemampuan diri. Kedua-dua aspek kecerdasan dapat dipupuk dan diperteguh dengan rangsangan sumber-sumber yang bersesuaian, umpamanya sumber dalaman yang lebih bersifat pemberian makna seperti aspek kesabaran dan pujian, dan melalui kerja berkumpulan bagi pemupukan kecerdasan interpersonal.

Kecerdasan lain yang boleh diperolehi dari pemerhatian dan pengalaman adalah kecerdasan “environmental or naturalist”. Ia melibatkan keupayaan untuk memahami simbol semulajadi untuk meneliti keseimbangan bagi meneruskan kehidupan. Pendedahan secara semuladi terhadap persekitaran secara semulajadi membolehkan pelajar memperolehi manfaat dengan mengalami pembelajaran secara “hands-on”.

Ringkasnya, penjelasan kelapan-lapan aspek kecerdasan oleh Gardner membolehkan individu mendasari semula komponen utama yang dicerminkan oleh pelajar dengan kepelbagaian cara dan corak belajar yang berbeza oleh mereka. Menurut Silver, Strong dan Perini (1997), gaya belajar adalah merupakan keperbezaan cara individu berfikir dan belajar, fokus kepada bagaimana individu ‘menyerap’ maklumat, pemikiran dan seterusnya membuat penilain terhadap hasil yang diperolehi.

Intipatinya, gaya belajar yang berbeza ini, jika dilihat dari pangkalnya adalah berteraskan tunjang kecerdasan yang sama. Apa yang membezakan adalah penggunaan kecerdasan tersebut dengan kepelbagaian dominasi tertentu mengikut keselesaan seseorang individu. Atas dasar ini, pengkaji merasakan satu bentuk penyepaduan modul perlu diketengahkan dalam usaha untuk membantu pelajar melengkapkan diri dengan kemahiran belajar yang bersesuaian dan efektif. Sudah pastinya penyepaduan lapan aspek kecerdasan sebagaimana yang dikemukakan oleh Gardner diterjemahkan kepada lima aspek domain yang dirasakan perlu digemblengkan kearah pembentukkan modul kemahiran belajar yang bersifat pelbagai dimensi (multidimensional).



5.0 GAYA BELAJAR 5 DOMAIN

Perkara yang penting dalam proses pembelajaran ialah untuk mendapat maklumat, memproses seterusnya disimpan sebagai ingatan. Ingatan adalah satu perkara penting untuk para pelajar bagi mengeluarkan maklumat itu semula dalam peperiksaan. Ahli psikologi telah banyak membuat banyak kajian dan cerapan bagaimana manusia itu mengingati sesuatu. Kajian ahli psikologi menunjukan manusia mempunyai daya ingatan yang berbeza bagi maklumat dalam bidang yang berlainan. Dalam perkataan lain, manusia mempunyai kekuatan ingatan yang berlainan terhadap wajah dan fakta sains.

Satu lagi cerapan ahli psikologi ialah kita mengingat dengan memilih apa yang kita mahu ingat. Ianya melibatkan emosi keinginan ingin tahu yang tinggi berdasarkan perasaannya. Perkara ini mungkin disebabkan oleh naluri inginkan pengetahuan ataupun sebagai satu keperluan lain berasaskan matlamat yang ingin dicapai seperti untuk lulus peperiksaan atau seumpamanya.

Berasaskan fakta di atas menunjukan proses pembelajaran melibatkan pancaindera sama ada otak sebagai agen kognitif, aspek perasaan (kognitif) dan sebagainya. Justeru itu, penulis merasakan, proses pembelajaran yang aktif dan berkesan perlu melibatkan semua pancaindera yang melibatkan beberapa domain utama iaitu domain audio, domain visual, domain kognitif, domain afektif dan domain psikomotor di mana penulis namakan sebagai kemahiran belajar 5 domain. 5 Domain perlu dilibatkan dalam proses pembelajaran khasnya untuk tujuan meningkatkan ingatan para pelajar.


5.1 Domain Audio

Domain audio adalah yang menggunakan pancaindera pendengaran untuk mendengar maklumat yang diperolehi. Dalam proses pembelajaran secara asasnya semua pelajar akan menggunakan domain ini. Sama ada berkesan atau tidak pendengaran ini adalah bergantung kepada domain-domain yang lain. Sepanjang pembelajaran para pelajar sama ada domain ini digunakan sepenuhnya adalah sukar untuk ditentukan. Ini disebabkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran kebanyakan para pelajar tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kerana gangguan persekitaran yang ada. Ini menunjukan proses pembelajaran tidak boleh hanya bergantung kepada domain audio sahaja.


5.2 Domain Visual

Domain visual menggunakan pancaindera penglihatan. Apa sahaja aktiviti visual akan membawa kepada kefahaman yang nyata. Kefahaman yang nyata bermaksud bukannya yang berbentuk khayalan atau imaginasi. Apa yang dilihat adalah sangat penting. Perkara yang menjadi persoalan ialah kenapa dengan hanya menggunakan domain visual, pelajar masih tidak dapat menguasai dan memberi tumpuan terhadap apa yang diajar ?. Ini menunjukan kepentingan keterlibatan domain yang lain yang boleh mengukuhkan terhadap proses mendapat maklumat.


5.3 Domain Kognitif

Ahli psikologi kognitif berpendapat, pembelajaran adalah proses mental yang aktif untuk mendapat ilmu, menyimpan, mengingat dan menggunakan ilmu (Ramlah Jantan, 2002). Ianya akan melibatkan proses aktif minda untuk memperolehi pengetahuan dan mendorong seseorang untuk belajar. Didalam proses pembelajaran domain kognitif sepatutnya dilibatkan secara aktif. Namun demikian, para pelajar biasanya agak sukar untuk dilibatkan secara maksima. Ia akan menjadi sukar sekiranya pengajaran dan pengajaran yang dijalankan hanya bersifat sehala.


5.4 Domain Afektif

Domain afektif adalah melibatkan perasaan, nilai yang dipegang, sensitiviti dan persepsi individu. Bagi kebanyakan pelajar ada yang mempersepsikan sesetengah matapelajaran adalah susah dan sukar. Ini akan menjadikan motivasi dan keinginan mereka untuk belajar akan semakin menurun. Justeru itu, domain afektif bagi mewujudkan sesi pembelajaran sebagai senang dan menyeronokan akan banyak membantu pelajar untuk minat belajar. Justeru itu, pendekatan kemahiran belajar 5 domain cuba diketengahkan oleh penulis bagi menarik minat pelajar untuk belajar.


5.5 Domain Psikomotor

Domain psikomotor melibatkan pergerakan tubuh atau apa sahaja pergerakan aktiviti dalam bentuk tingkahlaku. Menurut Selmes (1987), latihan dalam mengaplikasikan strategi belajar adalah perlu. Pembelajaran yang melibatkan pergerakan dan aktiviti akan menimbulkan keseronokan seterusnya meningkatkan keupayaan untuk mengingat sesuatu maklumat. Pendekatan belajar yang melibatkan perbincangan dengan rakan, melibatkan aktiviti, menyelesai masalah dan seumpamanya melibatkan domain psikomotor.


6.0 KEMAHIRAN DAN APLIKASI

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pembelajaran yang berkesan memerlukan penumpuan yang penuh. Ini menunjukan semua domain yang melibatkan pancaindera berkenaan mestilah digunakan sepenuhnya. 5 domain memainkan peranan yang penting dalam agar pelajar dapat memberiukan tumpuan sepenuhnya terhadap apa yang mereka pelajari sama ada dalam pembelajaran secara formal di kelas ataupun ketika mereka mengulangkaji secara individu ataupun bersama rakan-rakan.

Ketika proses pembelajaran, kebanyakan pelajar tidak menggunakan kelima-lima domain sepenuhnya. Ini menyebabkan mereka tidak dapat menguasai maklumat secara maksima. Tanpa penggunaan lima domain ini juga mereka sukar untuk memberikan tumpuan terhadap pengajaran guru.

Penulis seterusnya akan cuba menghuraikan antara kaedah perlaksanaan pendekatan 5 domain dalam proses pembelajaran. Sebagai contoh dalam mengingati formula dalam matematik, fizik, kimia, menghafal ayat al-quran dan seumpamanya. Cuba lihat formula berikut:

∑ x = √ (x+y)2 + (n+1)3 – r 2
_________________________
(n+1) – (n-1) + rq3/4

Bagaimanakah caranya bagi seseorang itu mengingat formula itu dengan cepat ?. Kita jangan membincangkan individu yang mempunyai kebolehan mengingat yang hebat, atau mereka yang mempunyai `camera eye’ yang mana apabila mereka melihat sahaja formula berkenaan mereka mempunyai kemampuan untuk mengingat dengan cepat.

Langkah pertama yang kita gunakan ialah dengan memecahkan formula itu kepada beberapa pecahan. Contohnya formula di atas pecahan pertama ∑ x = ; seterusnya pecahan kedua √ (x+y)2 ; pecahan ketiga (n+1)3 – r 2 ; begitulah seterusnya.

Langkah kedua ialah dengan menulis semula pecahan yang pertama tadi (∑ x =) berulangkali sambil menyebutnya dengan terang dan jelas. Langkah ketiga, setelah pelajar dapat mengingat pecahan pertama baharulah akan meneruskan dengan pecahan yang kedua dengan menggabungkan pecahan pertama dan kedua sekali iaitu ∑ x = √ (x+y)2. Pelajar akan menulis pecahan pertama dan kedua berulangkali sambl menyebutnya dengan terang dan jelas. Langkah keempat, pelajar akan meneruskan langkah seperti tadi sehinggalah semua formula itu dapat diingati dengan berkesan.

Melalui teknik di atas, secara tidak langsung kelima pancaindera yang melibatkan 5 domain akan berfungsi dengan aktif dan berkesan. Deria mata akan melihat, deria telinga akan mendengar, deria tangan yang melibatkan psikomotor akan menulis, di samping dengan sendirinya aspek kognitif dan afektif akan turut dikawal bersama dalam proses pembelajaran berkenaan. Pendekatan tadi boleh dilakukan untuk mengingat ayat-ayat al-quran, formula-formula, rajah-rajah saintifik dan seumpamanya.

Perlaksanaan 5 domain juga boleh dilakukan secara sinergi, iaitu gabungan dengan rakan-rakan pelajar yang lain. Contohnya untuk mengingat konsep yang diutarakan oleh Aristotle tentang falsafah kehidupan ada tujuh iaitu politik, retorika, estetika, metafizika, logika, etika dan ekonomi.

Langkah pertama, pelajar membuat kumpulan dan duduk dalam bulatan. Tujuh falsafah Aristotle tadi akan diagihkan kepada setiap pelajar di mana mereka akan mengingat satu terminologi sahaja. Langkah kedua, orang yang pertama akan menyebut terminologi yang pertama iaitu `politik’. Langkah ketiga, orang yang kedua pula akan menyebut termonologi rakannya yang pertama iaitu `politik’ di samping terminologi kedua bagi dirinya iaitu `retorika’. Langkah keempat, orang yang ketiga akan menyebut terminologi rakannya yang pertama dan kedua baharulah terminologi bagi dirinya iaitu `estetika’. Begitulah seterusnya sehingga keseluruhan terminologi berkenaan akan disebut. Melalui aktiviti ini, ianya akan melibatkan kesemua lima domain para pelajar iaitu domain visual, audio, kognitif, afektif dan psikomotor, di samping pelajar akan lebih bersemangat, cergas dan seronok untuk belajar. Pengalaman penulis ketika melaksanakan kaedah ini, pelajar dapat mengingat formula tadi lebih kurang tiga minit.

Di dalam melaksanakan kemahiran belajar lima domain ini, juga akan melibatkan kekreatifan pelajar. Contohnya para pelajar boleh mengingat formula ataupun fakta-fakta tertentu dalam bentuk lakaran yang kreatif. Lakaran berkenaan boleh dikongsi dengan rakan-rakan kumpulannya.



7.0 PENUTUP DAN KESIMPULAN

Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan merupakan aspek penting kepada individu, masyarakat dan negara. Satu pendekatan proses pembelajaran yang praktikal dan berkesan perlu dijanakan agar memberi kesan kepada perkembangan ilmu ini. Aspek perbezaan pelajar dari segi personaliti, psikologi dan pencapaian tidak boleh dijadikan alasan agar setiap pelajar sepatutnya mampu mengusai ilmu. Justeru itu, satu kajian saintifik yang lebih mendalam wajar dilakukan bagi melihat apakah pendekatan yang relevan serta mudah dilaksanakan khasnya dalam institusi pendidikan. Penulisan ini hanyalah satu cetusan pengalaman bagi pengkajian yang lebih terperinci.









RUJUKAN


Chibnall B. (1987). Teaching For Effective Study. Bechenchem: Croom Helm Ltd.


Khalid bin Mohamed Nor (1993). Kaedah Pembelajaran Berkesan. Kuala Lumpur:
Cahaya Pantai (M) Sdn. Bhd.


Md Yusuf Hj Arshad (1992). Belajar Sehingga Berjaya. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.


Ramlah Jantan dan Mahani Razali (2002). Psikologi Pendidikan – Pendekatan
Kontemporari. Kuala Lumpur : Mc Graw Hill.

1 comment:

rina-tech said...

kemahiran 5 domain ini sgt berkesan seandainya pelajar-pelajar mengaplikasikannya secara konsisten.masalah yg dihadapi oleh pelajar adalah mereka tidak pandai menggunakan kaedah ini dan tdk tahu bilamasa untuk menggunakannya.pemantauan berterusan drpd guru dan pelajar itu sendiri dlm pendekatan ini akan menghasilkan perubahan yg besar dlm proses mencapai kejayaan.